Remaja, kanak-kanak cedera diserang anjing
Haniza menunjukkan kecederaan pada mata dan jahitan di kening Nurkhairunnisa akibat serangan anjing liar.

























SERENDAH, Hulu Selangor - Seorang kanak-kanak parah, manakala seorang pelajar universiti menerima lapan jahitan di kening akibat diserang seekor anjing.


Mangsa, Mohd Aqashah Abdul Malik, 9, masih ditempatkan di wad kanak-kanak Hospital Selayang dan difahamkan telah menjalani pembedahan rahang semalam, sementara Nur khairunnisa Shahlan, 24, direhatkan seminggu di rumahnya, di sini.

Menurut Nurkhairunnisa, kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang, 1 Mac lalu ketika dia mahu menghantar dua adik saudaranya pulang.

“Ketika itu baru keluar pagar rumah, tiba-tiba seekor anjing menyerang kami.

“Akibat panik, motosikal yang kami tunggang terus meluru dan melanggar tiang menyebabkan kami terjatuh,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Melati.

Nurkhairunnisa mengalami kecederaan di mata dan kaki kanan, sementara Mohd Aqashah cedera parah di dagu, rahang, kaki dan tangan kiri, manakala seorang lagi tidak mengalami kecederaan.

Menurutnya, dia sepatutnya memulakan sesi pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Isnin lalu, namun terpaksa menyambung semula cuti akibat kejadian itu.

“Saya baru habis cuti pertengahan semester sebulan, tapi kejadian ini memaksa saya rehat lapan hari lagi untuk pulih sepenuhnya,” katanya.

Sementara itu, ibunya, Haniza Ayu Salleh, 45, mahu pihak berkuasa menghapuskan anjing liar di taman perumahan itu yang didakwa semakin tidak terkawal.

Menurutnya, terlalu banyak kes serangan anjing liar di kawasan itu dan kebanyakan mangsa adalah kanak-kanak, wanita dan penunggang motosikal.